TAIWAN – Seorang wanita berusia 57 tahun ditahan selepas bergaduh dengan seorang lelaki warga emas di dalam sebuah bas bandar gara-gara berebut tempat duduk khas, pada 13 Oktober lalu.
Memetik laporan Liberty Times Net (LTN News), kejadian berlaku kira-kira jam 6.40 petang ketika bas berkenaan dalam perjalanan menuju ke Kuil Chenghuang.
Difahamkan, wanita dikenali sebagai Wei duduk di kerusi khas tepi laluan sebelum seorang lelaki bernama Yang, yang mengalami masalah pergerakan, naik dan meminta tempat duduk tersebut atas alasan memudahkan untuk turun.
Permintaan itu bagaimanapun tidak dipenuhi, menyebabkan pertengkaran mulut berlaku antara mereka.
Keadaan menjadi tegang apabila Yang terus menegur dan mengkritik Wei sehingga wanita itu hilang sabar lalu menamparnya menggunakan selipar.
Yang yang enggan mengalah kemudian menendang semula wanita berkenaan.
Pergaduhan itu disaksikan penumpang lain dan turut dirakam menerusi kamera keselamatan bas sebelum tular di media sosial.
Pemandu bas, dikenali sebagai Xu, cuba meleraikan pergaduhan namun kedua-duanya terus berbalas serangan menggunakan selipar dan botol plastik.
Xu akhirnya mengarahkan mereka turun bagi mengelak gangguan kepada penumpang lain.
Menurut polis, walaupun tiada laporan dibuat, pihaknya telah menghubungi kedua-dua individu terbabit untuk membantu siasatan.
“Hasil semakan lanjut mendapati wanita berkenaan, Wei, sebenarnya dikehendaki polis berhubung satu kes kecurian,” kata jurucakap polis seperti dipetik LTN News.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang berpendapat isu tempat duduk khas sepatutnya diselesaikan dengan budi bicara, bukan kekerasan.