NEGARA mencatatkan lebih 28 juta pengguna media sosial, mencakupi pelbagai platform dengan penggunaan kerap setiap hari.
Tidak dinafikan, keperluan terhadap teknologi menjadi semakin kompleks dengan hampir semua urusan komunikasi menggunakan media baharu.
Tidak terkecuali, anak-anak di rumah yang mengisi sebahagian besar hidup mereka dengan aktiviti di media sosial, baik berhubung dengan rakan-rakan, mahu pun mendapatkan maklumat terkini mengenai apa saja.
Keadaan itu menjadikan ada ibu bapa yang tidak sedar, penggunaan secara purata melebihi tiga jam setiap hari mampu membawa banyak kesan negatif secara tidak langsung.
Antaranya ialah kesan terhadap kesihatan mental termasuk tekanan yang boleh menyebabkan kemurungan dan pengaruh kepada benda tidak sihat seperti permainan video yang menjurus kepada aktiviti keganasan.
Bukan itu saja, rutin hidup seolah-olah tidak normal, tidak bersemuka dengan orang lain serta sesi perbualan secara maya juga menyumbang kepada masalah psikososial dalam hidup.
Ia akan menjadikan hubungan sesama manusia juga terganggu malah sampai kepada tahap tidak peduli dengan persekitaran kerana terlalu asyik dengan peranti serta pelbagai aplikasi terkini.
Kita tidak menolak kemajuan, namun ia perlu digunakan sesuai dengan keperluan dan bukannya secara berlebih-lebihan.
Setiap hari ada saja ibu bapa mengeluh kerana anak-anak tidak lagi mendengar kata, melawan dan mengasingkan diri.
Tentu ada puncanya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan peranti dan media sosial adalah segala-galanya bagi mereka.
Ada yang boleh jadi gila jika rangkaian internet terputus seketika, sama seperti generasi baharu yang tidak biasa jika rumah tiba-tiba terputus bekalan elektrik.
Apa yang perlu ialah sikap berpada-pada kita sebagai ibu bapa dalam meraikan teknologi hari ini dan masa akan datang. Ia sepatutnya mempermudah urusan, namun bukan segala-galanya dalam kehidupan.
Ibu bapa paling utama perlu bertegas dalam soal penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak.
Ambil peduli semua aspek, periksa semua akaun media sosial mereka serta kawal main permainan video yang berunsur negatif.
Pantau perkembangan sosial anak-anak secara menyeluruh sebelum terlambat.