PRN17: Beri cuti khas, kawal tambang penerbangan bantu pengundi Sabah pulang mengundi

Iklan
Kerajaan digesa memberi cuti tanpa rekod dan kawalan tambang penerbangan bagi memudahkan rakyat Sabah di Semenanjung pulang mengundi pada PRN17. Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberikan cuti tanpa rekod dan mengawal kadar tambang penerbangan bagi membolehkan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, langkah itu penting susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan tiada pelaksanaan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung.

Iklan
Iklan

“Saya sudah suarakan kepada SPR mengenai keperluan untuk rakyat Sabah yang berada dan bekerja di Semenanjung diberi hak untuk mengundi tanpa perlu berada di Sabah.

“Saya mohon dua cadangan ini diberikan pertimbangan yang serius dan sewajarnya oleh kerajaan demi memastikan hak rakyat Sabah tidak dihalang dan demokrasi di Malaysia dapat disuburkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, SPR memaklumkan pihaknya tidak akan melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung pada PRN17 negeri itu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setakat ini tiada ketetapan rasmi berhubung pelaksanaan undi pos bagi pengundi berdaftar di Sabah yang menetap atau bekerja di Semenanjung.

Iklan

Hari pengundian bagi PRN17 ditetapkan pada 29 November depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka dengan pecahan 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 28 November.