KOTA KINABALU - Saksi ke-25 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa pelajar Tingkatan Satu itu dikatakan kurang digemari oleh sebahagian pelajar asrama kerana didakwa mencuri.
Bagaimanapun, saksi yang juga merupakan kanak-kanak ke-15 berpendapat bahawa Zara Qairina bukan seorang pelajar yang bermasalah dan tidak pernah memarahi mahupun menegur remaja berusia 13 tahun itu.
Keterangan saksi itu disampaikan oleh peguam Mohd Azhier Farhan Arisin yang turut berada dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-24 di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
"Saksi merasakan bahawa Zara kurang digemari oleh pelajar-pelajar di asrama sebab kalau saksi tanya 'Zara mana satu', mereka akan beritahu 'Zara yang problem tu'.
"Saksi tanya apa masalah yang dimaksudkan dan mereka beritahu mencuri.
"Namun pada pendapat saksi, Zara tidak bermasalah. Saksi tidak pernah memarahi atau menegur Zara," katanya.
Mohd Azhier berkata demikian berdasarkan penyataan saksi yang telah selesai dibaca, dan memaklumkan bahawa saksi berkenaan masih belum selesai disoal oleh pihak berkepentingan dalam inkues itu pada Khamis.
Menurut peguam itu lagi, saksi turut menyatakan bahawa dia pernah mendengar pelajar lain bercakap tentang Zara yang dikaitkan dengan beberapa dakwaan, namun tidak mengambil peduli perkara tersebut.
"Saksi pernah dengar orang bercakap bahawa Zara mencuri, suka sejenis, dan mahu menjadi Badar.
"Saksi tidak ambil peduli sangat sebab masih budak-budak. Mungkin Zara cuma jadikan orang itu idola, sebab itu dia suka, tapi saksi tidak pasti siapa orang yang dikatakan Zara suka," katanya.
Selain itu, saksi juga menggambarkan Zara Qairina sebagai pelajar yang sentiasa ceria dan tidak menunjukkan tanda-tanda menghadapi sebarang tekanan atau masalah peribadi.
"Zara kelihatan sentiasa ceria, macam tiada masalah. Zara tidak pernah mengadu kepada saksi tentang masalah persendirian atau konflik dengan sesiapa, tekanan, sedih atau sebagainya," katanya.
Tambah peguam itu, saksi turut memaklumkan bahawa dia tidak mengetahui tentang sebarang arahan atau kejadian pelajar Tingkatan Empat memanggil Zara Qairina pada malam kejadian, 16 Julai lalu.
"Saksi tidak mempunyai pengetahuan tentang Zara dipanggil oleh senior pada malam 16 Julai 2025.
"Saksi tidak nampak atau dengar Zara dipanggil atau dimarahi oleh pelajar senior. Hal ini kerana saksi merupakan pengawas asrama dan sekiranya mereka panggil pelajar, mereka tidak akan beritahu saksi," katanya.
Sebelum itu, Mohd Azhier bersama rakan sepasukannya iaitu Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina.
Mereka hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut yang kini memasuki hari ke-16 dan berlangsung di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.