KOTA KINABALU - Saksi ke-25 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia terlihat darah pada simen di bahagian kepala pelajar Tingkatan Satu itu yang terbaring di hadapan biliknya di aras bawah bangunan asrama sebuah sekolah pada 16 Julai lalu.
Saksi yang juga merupakan kanak-kanak ke-15 memberi keterangan dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-24 di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Mohd Azhier Farhan Arisin berkata, saksi merupakan pelajar senior yang tinggal di asrama berkenaan sejak Tingkatan Satu dan mengenali Zara Qairina, namun tidak rapat.
"Pada 16 Julai kira-kira jam 2.50 pagi, saksi terbangun daripada tidur kerana kesejukan akibat tidur di lantai dorm. Saksi mengubah kedudukan tidur dan cuba untuk tidur semula.
"Secara tiba-tiba, saksi dengar bunyi pintu bilik dormnya diketuk beberapa kali dan setelah pintu dibuka, pegawai keselamatan yang dikenali dengan nama ‘Aunty Lina’ berada di depan pintu.
"Aunty Lina kemudiannya menyatakan kepadanya ‘Kau tengok dulu depan bilik kau ini’. Saksi kemudian keluar dari bilik dan melihat Zara terbaring di antara rumput dan longkang, di depan bilik dormnya.
"Saksi secara spontan berkata ‘Ya Allah, kenapa Zara tergelincir ni?’, lalu saksi menghampiri Zara dan memegang pahanya sambil berkata ‘Zara, bangun Zara. Macam mana kau boleh tergelincir ni'?.
"Kemudian Aunty Lina berkata, 'mana ada dia tergelincir ni, mana ada selipar dia pakai. Aunty rasa dia mengigau ni dan terjatuh dari atas," katanya.
Mohd Azhier berkata demikian berdasarkan penyataan saksi yang telah selesai dibaca dan memaklumkan bahawa saksi tersebut masih belum selesai disoal oleh pihak berkepentingan dalam inkues itu.
Tambahnya lagi, saksi menyatakan bahawa pengawal keselamatan itu cuba mengejutkan Zara Qairina dan ketika menolak badan pelajar tersebut, barulah saksi menyedari terdapat darah pada simen di bahagian kepala mangsa.
"Saksi mengatakan bahawa dia panik kerana takut dengan darah dan berkata kepada Aunty Lina ‘Aunty, darah Aunty, bagus Aunty pergi call warden sekarang.
"Aunty Lina kemudiannya menghubungi warden yang bertugas iaitu Madam Shima, namun panggilan telefon tersebut tidak diangkat.
"Saksi berkata, Aunty Lina selanjutnya telah menelefon ketua warden iaitu Ustaz Azhari. Aunty Lina telah memaklumkan tentang apa yang telah berlaku kepada ustaz tersebut menerusi panggilan telefon.
"Kira-kira jam 3.12 pagi, Ustaz Azhari telah tiba di asrama dan pada jam 3.17 pagi, Ustaz Azhari terus menghubungi ambulans. Sementara menunggu ambulans tiba, Ustaz Azhari telah meminta mereka untuk angkat badan Zara ke lorong hadapan asramal," katanya.
Katanya lagi, dalam keterangannya saksi menjelaskan bahawa pada awalnya pengawal keselamatan itu cuba mengangkat Zara tetapi tidak dapat dan dia bersama beberapa pelajar lain membantu termasuk Ustaz Azhari.
"Semasa Zara diangkat, ada sedikit darah menitis cuma tidak pasti dari mana. Ambulans tiba kira-kira jam 3.47 pagi sebelum saksi mandi," katanya.
Tambah Mohd Azhier lagi, saksi memberitahu bahawa dia masih terkejut dengan kejadian tersebut dan menambah bahawa ketika melihat Zara Qairina terbaring, pelajar itu masih bernafas dan tangan kanannya bergerak, namun matanya tertutup.
"Tapi sebelum Ustaz Azhari tiba, saksi mengatakan Zara kedengaran seperti susah bernafas. Saksi juga perasan bila tangan Zara berhenti bergerak, darah keluar dari kaki yang koyak," katanya.
Katanya lagi, saksi memberitahu bahawa pada malam sebelum kejadian Zara ditemui terbaring antara longkang dan rumput, dia tidak mendengar sebarang bunyi jatuh atau apa-apa yang ganjil.
Sebelum itu, Mohd Azhier bersama rakan sepasukannya iaitu Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina.
Mereka hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut yang kini memasuki hari ke-16 dan berlangsung di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.