Pulau Pinang harap penyelesaian positif isu tarif AS

Iklan
Kon Yeow menyampaikan ucapan pada Amcham Penang Dialogue 2025: Recalibrating Malaysia pada Khamis.

GEORGE TOWN - Pulau Pinang berharap satu penyelesaian yang baik dapat dicapai berhubung cadangan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa industri di Malaysia termasuk sektor semikonduktor, menjelang kehadiran Presiden AS, Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu hadapan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, maklum balas mengenai isu ini telah disampaikan melalui Invest Penang kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sesi perbincangan merupakan platform penting untuk menyampaikan pandangan dan mewujudkan persefahaman antara kedua-dua negara.

“Kita harap ada penyelesaian baik dari segi perjanjian, khususnya berhubung tarif yang dikenakan ke atas Malaysia.

Iklan

"Syarikat-syarikat multinasional di sini sebahagian daripada rantaian bekalan AS malah terdapat syarikat Malaysia yang mula melabur di AS," katanya kepada media selepas menghadiri Amcham Penang Dialogue 2025: Recalibrating Malaysia di sini pada Khamis.

Beliau menambah bahawa Malaysia sentiasa bersikap komplementari kepada syarikat AS dan bukan pesaing.

Iklan

“Kami optimistik satu perjanjian dapat dimeterai dan kita mampu mencapai penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak,” ujarnya lagi.

Kon Yeow berkata lagi, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada usaha Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan hubungan dagang strategik dengan AS yang merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia.

Isu tarif AS ke atas industri semikonduktor dan sektor lain sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur terutama bagi negeri seperti Pulau Pinang yang merupakan hab utama sektor elektronik dan semikonduktor di Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa Malaysia akan berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick mengenai cadangan tarif AS ke atas beberapa industri termasuk semikonduktor.

Tengku Zafrul menyatakan bahawa tarif bagi sektor semikonduktor dan beberapa industri lain masih belum dibincangkan atau dimuktamadkan di bawah Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS.

Pada masa ini, tarif ke atas semikonduktor kekal pada kadar sifar peratus, sama seperti beberapa sektor lain, manakala sektor yang sedang dikenakan tarif ialah automotif, besi, keluli dan perabot.