Pura-pura buta lebih 50 tahun demi tuntut bantuan OKU

Iklan
Pihak berkuasa kemudian mengekori dan merakam pergerakannya selama dua bulan. Gambar hiasan

ROM – Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun didakwa berpura-pura buta sepenuhnya selama lebih lima dekad bagi mengaut bayaran bantuan orang kurang upaya (OKU) akibat kecacatan berjumlah lebih 1 juta euro (RM4.89 juta).

Kes melibatkan lelaki dari wilayah Vicenza itu mencetuskan semula persoalan mengenai kelemahan sistem semakan bantuan sosial di Itali.

Iklan
Iklan

Lelaki berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan menerima bayaran bantuan berterusan daripada kerajaan atas dakwaan beliau mengalami buta kekal.

Namun, siasatan oleh polis kewangan wilayah Vicenza mendapati terdapat keraguan dalam rekodnya.

Iklan

Pihak berkuasa kemudian mengekori dan merakam pergerakannya selama dua bulan.

Rakaman menunjukkan lelaki itu mampu bergerak bebas di bandar, membeli-belah sendiri, memeriksa hasil tani sebelum membeli serta melakukan kerja-kerja berkebun menggunakan peralatan tajam.

Iklan

Berikutan bukti kukuh, beliau kini didakwa menipu kerajaan Itali.

Pihak berkuasa turut menggantung semua elaun dan manfaat sosialnya, selain mengenakan audit cukai terhadap hasil yang diterima.

Audit tersebut menuntut bayaran balik lebih 200,000 euro (RM978,700) yang diterima secara tidak sah dalam tempoh lima tahun terakhir, iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan untuk penilaian semula.

Pejabat pendakwa wilayah Vicenza turut mengarahkan supaya lelaki itu didakwa atas kesalahan menipu kerajaan.-Agensi