KUALA LANGAT - Kira-kira 10 kediaman di Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini dilaporkan terjejas selepas kawasan itu dilanda ribut disertai hujan lebat petang Rabu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, kejadian turut menyebabkan bumbung beberapa rumah tercabut dan kerosakan di beberapa premis sekitar.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.20 petang sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi bagi menilai kesan kerosakan dan membantu mangsa terlibat.
"Apabila tiba di lokasi sekitar jam 5.08 petang, didapati Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan turut terjejas apabila sebahagian bangunannya rosak dan sebatang pokok tumbang di hadapan sekolah menghempap sebuah kereta.
“Pasukan APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan pokok tumbang terbabit," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Harmoni Kampung Sijangkang bagi menempatkan penduduk terjejas dan agensi berkaitan kini berada di lokasi bagi memberi bantuan sewajarnya.
Beliau berkata, laporan lanjut akan dikeluarkan selepas siasatan dan penilaian kerosakan selesai dijalankan.
"Setakat ini keadaan di kawasan bencana masih dalam pemantauan pihak APM,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Tengku Rohana Tengku Nawawi dalam satu kenyataan mengesahkan PPS berkenaan diisytiharkan beroperasi secara rasmi selepas kawasan tersebut dikategorikan sebagai Bencana Tahap 1.
Menurutnya, Dewan Harmoni, Kampung Sijangkang, dibuka bagi menempatkan mangsa yang terkesan akibat bencana ribut itu dan akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua mangsa terjamin sepanjang tempoh pemindahan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) menzahirkan harapan agar segala urusan penyelarasan bantuan dan pemulihan mangsa berjalan lancar.