Kebakaran hutan di Setia Alam padam sepenuhnya

Iklan
Kebakaran hutan di Setia Alam yang tular di Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Kebakaran hutan seluas kira-kira 1.2 hektar berdekatan laluan dari Tol Setia Alam ke Meru berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 7 malam pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.54 petang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai.

"Kebakaran membabitkan kawasan hutan di atas bukit dengan keluasan dianggarkan tiga ekar (1.2 hektar) pada ketinggian sekitar 300 meter," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Jelas beliau, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.07 petang dan menjalankan operasi pemadaman sebelum api berjaya dikawal pada jam 6.10 petang hari sama.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya jam 7 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat selain punca kebakaran masih dalam siasatan.

Iklan

Terdahulu, kejadian kebakaran hutan itu tular di Facebook apabila beberapa pengguna media sosial berkongsi rakaman video asap tebal yang kelihatan dari jauh di sekitar kawasan Setia Alam.

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap risiko merebak ke kawasan berhampiran.