PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan kononnya suspek yang menikam seorang pelajar Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) di sebuah sekolah di Selangor mempunyai masalah kesihatan mental.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan.
“Perkara itu masih dalam siasatan polis dan kita serahkan itu kepada siasatan polis dan kita berikan kepercayaan kepada polis.
"Semua perkara itu masih dalam siasatan polis. Kita tunggu laporan polis seterusnya.
"Seperti yang saya sebutkan, kita ada kerjasama lebih erat dengan PDRM dan PDRM juga akan bersama-sama kita memaklumkan langkah-langkah diambil KPM untuk memastikan sekolah itu kawasan selamat," katanya pada sidang akhbar khas di sini pada Selasa.
Beliau turut menegaskan, KPM sentiasa memandang serius apa-apa perkara yang mampu mengancam keselamatan pelajar.
"Seperti yang saya arahkan, kita semua harus mengambil tindakan tegas dan memberikan perhatian serius terhadap isu-isu keselamatan di sekolah," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) di sebuah sekolah menengah di sini meninggal dunia selepas ditikam seorang pelajar lelaki pada Selasa.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 9.30 pagi, di mana suspek, seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) dilaporkan membawa senjata tajam berupa pisau.