Langkawi dinobat pulau kedua terbaik Asia

Iklan
Pulau Langkawi dinobatkan sebagai pulau kedua terbaik dunia dalam senarai Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025 oleh portal pelancongan berprestij, Conde Nast Traveler.

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Nama Pulau Langkawi sekali lagi mengharumkan Malaysia di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pulau kedua terbaik di Asia dalam senarai Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025 oleh portal pelancongan berprestij, Conde Nast Traveler.

Dengan markah cemerlang 92.99, Langkawi berjaya mengatasi beberapa destinasi pelancongan terkenal termasuk Bali di Indonesia yang berada di tempat keenam dengan markah 89.84, serta Phuket di Thailand yang menduduki tangga kesembilan dengan skor 84.62.

Iklan
Iklan

Pulau Phu Quoc di Vietnam mendahului senarai dengan markah tertinggi 95.51, manakala Koh Samui (Thailand) dan Boracay (Filipina) masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat dengan markah 92.7 dan 90.54.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kejayaan hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia

Iklan

Menurutnya, pengiktirafan itu mencerminkan dedikasi dan semangat seluruh komuniti Langkawi termasuk penggiat industri pelancongan, pengusaha hotel, pemandu pelancong, peniaga kecil, nelayan, serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak swasta dan NGO.

“Syabas kepada semua yang telah menjadikan Langkawi bukan sekadar sebuah pulau, tetapi satu jenama pelancongan antarabangsa yang membanggakan Negeri Kedah dan Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu pada Selasa.

Iklan

Beliau turut berharap agar pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri Jelapang Padi itu.

“Semoga Langkawi terus bersinar sebagai permata pelancongan yang tiada bandingan, mencipta sejarah baharu dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Anugerah tahunan yang dianjurkan oleh Conde Nast Traveler itu merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri pelancongan global, dengan jutaan pembaca dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam undian.