SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada kepada keluarga pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini pagi tadi.
Beliau berkata, sebagai seorang bapa yang turut mempunyai anak perempuan, beliau tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa dalam menghadapi insiden mengejutkan itu.
"Saya mengucapkan takziah kepada mereka. Semoga mereka diberikan kekuatan dan perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan komuniti setempat supaya tahap keselamatan di sekolah di seluruh Selangor dipertingkatkan dengan segera.
Beliau berkata, perkara itu akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), dan beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera bagi menjamin keselamatan semua pelajar di sekolah.
"Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pagi tadi.
Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah ditahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tikam itu. - Bernama