SHAH ALAM - Dalam menyemarakkan sambutan Deepavali tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mempersembahkan sebuah filem pendek bertajuk Salangai, karya yang sarat dengan makna, budaya dan semangat perpaduan sejati rakyat Malaysia.
Ditayangkan secara rasmi di platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Salangai bukan sekadar sebuah filem pendek, ia adalah simbol kepada getaran budaya yang hidup, perasaan kasihyang mendalam dan kekuatan nilai harmoni dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Beliau menegaskan usaha memperkukuh perpaduan nasional bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi perlu dipikul bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia.
"Semoga cahaya Deepavali terus menyinari setiap rumah dan hati rakyat Malaysia dengan harapan baharu, kasih sayang dan semangat untuk terus bersatu sebagai satu keluarga besar Malaysia Madani," katanya.
Selain itu, di atas persetujuan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Salangai juga turut disiarkan melalui TV 1, TV 2 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan mendapat liputan daripada Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) untuk memberi liputan yang baik demi kesedaran awam untuk terus mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaia ndi Malaysia.
Makna dalam Setiap Langkah Tarian Mengangkat tarian klasik India, Bharatanatyam sebagai nadi penceritaan,
Salangai menyoroti keindahan budaya Tamil yang berakar umbi dalam sejarah dan spiritualiti.
Bharatanatyam, berasal dari negeri Tamil Nadu di India, bukan sekadar bentuk tarian tetapi suatu bentuk penyembahan, penyampaian emosi dan penceritaan melalui gerak tubuh, ekspresi wajah dan irama kaki—termasuk bunyi salangai atau loceng kaki yang dikenakan oleh penari.
Dalam konteks Salangai, setiap getaran loceng bukan hanya bunyi semata-mata tetapi gema nilai kasih sayang, semangat kekeluargaan dan penghormatan antara kaum dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.
Deepavali dalam semangat Madani
Deepavali atau Pesta Cahaya, disambut masyarakat India beragama Hindu sebagai simbol kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan menewaskan kejahatan.
Namun lebih dari itu, sambutan ini kini menjadi ruang untuk seluruh rakyat Malaysia menyemai nilai-nilai murni seperti kemaafan, kasih sayang dan perpaduan.
Selari dengan gagasan Malaysia Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, filem ini membawa mesej jelas tentang pentingnya penerapan nilai-nilai Madani merentas bangsa, agama dan latar belakang.
Filem Salangai mengajak rakyat untuk melihat Deepavali sebagai sebuah perayaan yang menyatukan, bukan memisahkan—menyalakan harapan baru dalam hati setiap rakyat Malaysia.
Gabungan seni, bakat dan jiwa
Filem pendek ini turut menyerlahkan kekuatan sinematik dan emosi dengan barisan pelakon yang berbakat besar. Dibintangi oleh Dhakshayni Jegatheeswaran sebagai teraju utama bersama Menaka Sinnaia dan Muthukaruppan A/L V Mariappan, dan barisan pelakon lain seperti Nicole Wong Jing Wen, Ahmad Izzulfaiq, Danial Dashuki, Aiman Rahman, Tiara Suraya dan pelakon iklan terkenal Izhar Hussin, Salangai berjaya menyentuh hati penonton dari pelbagai latar belakang.
Keunikan filem ini turut terserlah dengan penampilan istimewa pelakon cilik Aryan Rizqullah yang membawa watak anak kepada pasangan yang dilakonkan oleh Danial dan Tiara.
Turut mencuri tumpuan ialah Syaafiq atau lebih dikenali sebagai Syafiq Leggo, pempengaruh media sosial yang membawa peranan penting dalam menyampaikan mesej perpaduan dan semangat Deepavali.
Deepavali milik semua
Sambutan Deepavali bukan hanya milik satu kaum, tetapi milik semua rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan hormat-menghormati.
Filem Salangai adalah bukti bahawa seni mampu menjadi jambatan antara budaya, memperlihatkan bahawa perbezaan bukan halangan, tetapi kekuatan untuk kita terus bersatu.
Sementara itu, KPN mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia.
Semoga sinar Deepavali menerangi jalan kita ke arah negara yang lebih bersatu, harmoni dan penuh kasih sayang.
Filem pendek ini boleh diikuti di sosial media Menteri Perpaduan. (https://www.facebook.com/reel/1111337317786623)