Selangor pantau peningkatan kes influenza, pertimbang bantu pembelian vaksin

Iklan
Amirudin (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama peserta program Shah Alam Urban Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM — Kerajaan Selangor akan menilai langkah tambahan bagi menangani peningkatan kes influenza termasuk kemungkinan menyalurkan dana untuk pembelian vaksin di bawah program Inisiatif Sihat Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan terperinci berhubung situasi terkini influenza akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Jumaat ini sebelum sebarang keputusan dibuat.

Iklan
Iklan

“Saya akan membuat beberapa rujukan mengenai kes-kes terbaharu influenza dalam laporan pada Jumaat nanti, ketika MMKN, supaya kita dapat menilai keputusannya. Apa pun, paksi kita akan bergantung kepada saranan Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Shah Alam Urban Forum yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 13, di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menggunakan dana sedia ada atau memperkenalkan peruntukan baharu bagi melaksanakan program vaksinasi influenza sekiranya diperlukan.

“Cita-citanya ke hadapan, anak-anak kita juga dilindungi dengan vaksin influenza di bawah program Inisiatif Sihat Selangor. Sebenarnya, wang yang ada itu boleh digunakan untuk pembelian vaksin termasuk vaksin influenza.

Iklan

"Jika perlu, sebahagian sokongan boleh diberikan daripada dana yang kita ada atau diterbitkan baharu untuk tahun-tahun hadapan sebagai contoh,” katanya.

Menteri besar turut memaklumkan bahawa beliau sendiri terkesan dengan peningkatan kes berkenaan apabila anaknya dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti influenza baru-baru ini.

Tambahnya, maklumat lebih terperinci mengenai situasi influenza di Selangor akan diterima Jumaat ini, dan kerajaan negeri akan mengumumkan beberapa langkah bersesuaian selepas itu.

“Ini biasa disebabkan kepadatan. Hari Jumaat ini saya akan dapat info yang lebih terperinci. Nanti saya akan keluarkan beberapa langkah yang bersesuaian untuk menangani kes-kes influenza yang agak banyak,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, lebih 2,000 peserta menghadiri Shah Alam Urban Forum yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk penguat kuasa, penduduk, wakil komuniti sosial serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi berkongsi pandangan mengenai pembangunan bandar.

“Mereka bersama-sama dan berkongsi pandangan dalam forum, sesi bual bicara serta pertemuan rasmi dan tidak rasmi sepanjang dua hari Shah Alam Urban Forum ini,” katanya.