Kibar bendera Israel: Kertas siasatan hampir siap, pendakwaan masa terdekat

Iklan
Laporan Sinar Harian hari ini. (Gambar kecil: Yusoff)

KOTA BHARU - Polis Kelantan memaklumkan kertas siasatan berhubung tindakan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia mengibarkan bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat lalu hampir siap.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, proses tersebut sudah hampir 80 peratus selepas keterangan pihak penganjur telah direkodkan pada Isnin hampir tiga jam.

Iklan
Iklan

"Seramai lima lagi saksi yang merupakan pelakon dan berada di atas bot belum direkodkan. Proses itu akan berjalan hari ini (Selasa)," katanya semasa dihubungi.

Menurut beliau, sebaik sahaja selesai polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan mahkamah.

Iklan

Ujarnya, proses itu akan dijalankan dalam masa terdekat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat lalu memohon maaf di atas tindakan mengibarkan bendera Israel semasa melakonkan semula apa yang berlaku kepada sukarelawan GSF.

Iklan

Menurut Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan, beliau turut bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Sebelum itu tindakan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia mengibarkan bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza mendapat kecaman serta pelbagai pandangan orang ramai di media sosial apabila menampilkan sebuah bot yang mengibarkan panji rejim Zionis.

Menurut Mohd Khairul Hafiz itu hanyalah simulasi dan tidak mempunyai niat lain serta menyinggung mana-mana pihak.