Pelan Damai Gaza: Malaysia sokong usaha hentikan pembunuhan, kemusnahan - PM

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memutuskan untuk menyokong pelan damai yang dikemukakan Amerika Syarikat kerana sebarang usaha ke arah pendamaian amat penting bagi menghentikan pembunuhan dan kemusnahan di Gaza.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan Malaysia adalah bersyarat, dengan menuntut agar pelan berkenaan mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menyelesaikan semua isu termasuk di Tebing Barat, serta mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir dari Gaza.

Iklan
Iklan

"Dalam mendukung inisiatif Presiden Donald Trump, pendirian ini selaras dengan beberapa negara Islam lain yang berpandangan bahawa usaha damai perlu dimeterai segera memandangkan pembunuhan rakyat, termasuk wanita dan kanak-kanak, masih berterusan. Keadaan ini wajib dihentikan segera,” katanya.

"Kedua, keadaan di Gaza terlalu tenat, hampir kebuluran. Maka atas pertimbangan kemanusiaan, kita menyatakan bahawa apa juga inisiatif yang diambil, termasuk oleh Presiden Donald Trump, wajar disokong,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. 

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan terhadap pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel, serta sejauh mana ia selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu. - Bernama 

 

Iklan