Kelantan tambah PPS, siap sedia hadapi gelombang banjir
Iklan
Gambar rajah daripada JPS berkait kedudukan Sungai Kelantan dan Sungai Golok yang menyebabkan banjir di negeri Kelantan. Gambar kecil: Rohani
KOTA BHARU – Kelantan menambah jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kepada 468 lokasi bagi persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini berbanding 459 pada tahun lepas.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim berkata, langkah itu diambil berdasarkan pengalaman banjir tahun lalu yang menyaksikan lebih 120,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke PPS di seluruh negeri.
Iklan
Iklan
Jumlah tersebit lebih tinggi berbanding kira-kira 40,000 mangsa banjir berpindah ke PPS pada tahun sebelumnya.
“Berdasarkan pengalaman lepas, kami perlu menambah baik aspek kesiapsiagaan.
Iklan
“Oleh itu, jumlah PPS ditambah kepada 468 lokasi, manakala pangkalan operasi hadapan turut ditambah termasuk di daerah Kuala Krai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Kebajikan Monsun Timur Laut 2025/2026 di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Selasa.
Iklan
Tambahan PPS itu membabitkan enam daerah termasuk lokasi tumpuan banjir buruk di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat, manakala pangkalan operasi hadapan ditambah daripada 160 kepada 180 lokasi.
Maklumat tentang kategori amaran bencana yang dikongsikan oleh MetMalaysia pada taklimat di Kota Bharu.
Rohani berkata, persediaan rapi juga dibuat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi lain bagi memastikan PPS berada dalam keadaan baik dan lengkap sebelum hujan lebat dijangka bermula November ini.
“Kami mahu pastikan tandas berfungsi, tempat makan selesa, dapur boleh digunakan dan kemudahan asas mencukupi.
“Jabatan Pendidikan Negeri juga memberi jaminan bahawa sekolah-sekolah berdaftar sebagai PPS boleh digunakan apabila diperlukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan unsur politik di PPS dan menumpukan kepada tanggungjawab kemanusiaan.
“Saya minta supaya semua pihak bekerjasama tanpa mengira parti.
“Jangan pakai baju berlogo parti besar-besar, jangan bersyarah politik di PPS, ini bencana dan masa untuk membantu rakyat,” tegasnya.
Menurut Rohani, antara fokus utama tahun ini ialah meningkatkan koordinasi antara agensi, memastikan maklumat dan maklum balas disalurkan tepat kepada jabatan berkenaan.
Beliau turut mengiktiraf peranan petugas dan sukarelawan yang berkhidmat tanpa ganjaran besar namun tetap komited demi kebajikan masyarakat.
“Kerja ini bukan kerana gaji, tetapi kerana tanggungjawab dan kasih kepada masyarakat,” katanya.
Rohani turut mencadangkan agar sagu hati diberikan kepada petugas yang berkhidmat dalam operasi banjir, selain mengekalkan struktur jawatankuasa dan petugas sedia ada bagi memastikan kelancaran operasi tahun ini.
Taklimat itu turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk JKM, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta wakil-wakil rakyat dari daerah berisiko banjir.
Kemunculan seekor ibu harimau belang bersama anaknya di beberapa kampung di Kuala Krai bukan sahaja mencetuskan kebimbangan penduduk, malah menjejaskan sumber pendapatan lebih 100 penoreh getah yang terpaksa menghentikan rutin harian mereka sejak hampir dua minggu lalu.
Lebih membimbangkan, haiwan pemangsa itu dipercayai berkeliaran di kebun getah dan semakin menghampiri kawasan penempatan penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk serta haiwan ternakan.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/801601/edisi/kelantan/lebih-100-penoreh-getah-di-kuala-krai-gantung-pisau-gara-gara-pak-belang
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.