KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir bersambung semula pada Selasa dengan mendengar keterangan daripada saksi baharu iaitu yang ke-21 di Mahkamah Koroner di sini.
Saksi juga ialah kanak-kanak ke-12 yang didengar keterangannya melalui 'in camera' di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Iklan
Iklan
Dalam prosiding yang memasuki hari ke-22 saksi kanak-kanak tersebut ditemani bapanya.
Turut disediakan seorang lagi saksi kanak-kanak untuk memberi keterangan sekiranya saksi kanak-kanak ini selesai memberi keterangannya dalam prosiding tersebut.
Inkues turut dihadiri oleh pasukan-pasukan peguam yang dibenarkan Mahkamah Koroner menjadi pihak berkepentingan bagi mewakili anak guam masing-masing termasuk ibu dan bapa Zara Qairina.
Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang saksi kanak-kanak memberi keterangan di mahkamah tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.