[VIDEO] Mayat Muhammad Husni ditemui dalam kereta terjunam ke sungai

Iklan

MUAR – [DIKEMAS KINI] Mayat seorang lelaki ditemukan dalam kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, di Pekan Panchor, Pagoh, awal pagi Selasa selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir 11 jam oleh pasukan bomba.

Mangsa, Muhammad Husni Mahmud, 47 ditemukan berada di dalam kereta jenis Proton Saga berwarna hitam pada jam 1.01 pagi selepas kenderaan itu berjaya dinaikkan menggunakan kren.

Iklan
Iklan

Kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, di Pekan Panchor, Pagoh, berjaya dinaikkan pada awal pagi Selasa.- Foto JBPM Johor

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.42 petang Isnin sebelum anggota bergegas ke lokasi.

Iklan

“Sebaik tiba, pasukan mendapati benar terdapat sebuah kereta dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira 12 meter.

“Maklumat awal saksi menyatakan terdapat seorang mangsa yang juga pemandu berada dalam kenderaan berkenaan. Operasi pencarian dijalankan menggunakan bot dan teknik surface searching,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Operasi dan menyelamat dilakukan oleh pasukan penyelamat sejak petang Isnin. - Foto JBPM Johor

Menurut beliau, pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar dan BBP Skudai turut dikerahkan ke lokasi dan melakukan beberapa selaman menggunakan teknik arch pattern serta marking and searching.

“Pada jam 10.21 malam, pasukan PPDA berjaya menemui kenderaan itu pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing pada kedalaman 15 meter sebelum kerja-kerja menaikkan kereta dijalankan,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.38 pagi.

Seramai 20 anggota dari beberapa balai termasuk BBP Pagoh, BBP Muar dan BBP Skudai terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan dua bot fiber serta beberapa jentera sokongan.

 


Polis sahkan identiti mangsa 

MUAR – Identiti pemandu kereta Proton Saga FLX yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, di Pekan Panchor, Pagoh petang Isnin disahkan sebagai Muhammad Husni Mahmud, 47, yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah kilang kayu di Batu Pahat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sepasukan anggota bomba dan penyelamat bersama pasukan polis berjaya mengesan kedudukan kenderaan tersebut kira-kira jam 10 malam tadi.

“Unit selam bomba berjaya mengesan kereta berkenaan di dasar sungai sebelum kerja-kerja mengeluarkan kenderaan dilakukan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa lelaki di tempat duduk pemandu dan disahkan telah meninggal dunia. Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Husni Mahmud, beralamat di Batu Pahat, seorang duda, selain tidak mempunyai anak," Katanya ketika ditemui di pekarangan unit forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada Selasa.

Beliau berkata, waris mangsa telah dimaklumkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika air sungai sedang pasang dan arus agak laju.

“Saksi memaklumkan melihat kereta berkenaan pada mulanya berhenti di kawasan parkir kenderaan di tepi sungai sebelum terdengar enjin dihidupkan dan kenderaan itu tiba-tiba bergerak ke dalam sungai,” katanya.

Tambahnya, seorang saksi warga emas berusia lingkungan 70-an yang berada di sebuah kedai berhampiran turut cuba membantu dengan memecahkan cermin kenderaan tersebut.

“Namun disebabkan cermin gelap, dia tidak dapat memastikan berapa orang berada di dalam kereta dan tidak mendengar sebarang suara dari dalam kenderaan. Kenderaan itu perlahan-lahan tenggelam ke dasar sungai,” jelasnya.

Muhammad Aidil berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikenal pasti namun siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut masih dijalankan.

Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dilaporkan terjunam ke sungai ketika air sedang pasang dan deras.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan sehingga malam sebelum kenderaan berjaya dikesan oleh unit selam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 10 malam.

“Pasukan penyelam kemudian mengeluarkan kereta terbabit kira-kira jam 1.01 hari ini dan menemui seorang mangsa di tempat duduk pemandu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.