Kapal kargo Indonesia bawa bijih timah RM1.5 juta ditahan

Iklan
Kapal kargo yang dinaiki warga asing terbabit.

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Ahad bertindak menahan sebuah kapal kargo Indonesia kerana membawa barangan import disyaki amang bijih timah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, kapal kargo terbabit ditahan pada kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil pada jam 1.30 petang.

Iklan
Iklan

Katanya, kapal kargo berkenaan dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan Op Jaksa dan Op Tiris.

"Hasil pemeriksaan, kapal kargo dilaporkan dari Tanjung Pinang Indonesia ini didapati membawa muatan serbuk bijih timah yang dianggarkan seberat 10,240 kilogram bernilai lebih RM1.5 juta untuk dihantar ke jeti di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal kargo tersebut juga didapati berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia selain gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa barangan import masuk ke negara ini.

"Selain itu, nakhoda bersama empat kru kesemuanya merupakan warganegara Indonesia yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 47 tahun ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sementara itu Suhaizan berkata, kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan jelasnya, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50 ribu mana yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan sentiasa meneruskan operasi di sepanjang Zon Maritim Malaysia (ZMM).

"Pihak Zon Maritim Mersing juga mengalu-alukan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404," ujarnya.