KOTA KINABALU – Cubaan menyeludup dadah jenis ganja melalui bungkusan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) terbongkar menerusi hasil pemeriksaan dijalankan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada Ahad.
AKPS menerusi kenyataan memaklumkan, pemeriksaan rutin di cawangan kargo LTAKK membawa kepada penemuan enam bungkusan mencurigakan.
"Kesemua bungkusan itu dikesan menerusi imbasan mesin X-ray sebelum pemeriksaan fizikal dijalankan.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi bahan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat kasar keseluruhan 6.877 kilogram," kata kenyataan itu pada Isnin.
Menurut agensi berkenaan, semua bungkusan berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, AKPS menegaskan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKDM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus diperkukuh menerusi pemantauan bersepadu di LTAKK.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat atau menjadi ejen penghantaran bagi mana-mana bungkusan mencurigakan, serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang bungkusan yang tidak dikenali," tambah kenyataan itu.
AKPS turut memberi jaminan bahawa kawalan di semua pintu masuk utama negara akan terus diperketat bagi membanteras penyeludupan dadah, barangan terlarang serta aktiviti jenayah rentas sempadan.