Pembangunan negara mesti seimbang kemajuan fizikal, kesejahteraan insan - Anwar

Iklan
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara di Putrajaya pada Isnin. Foto Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan setiap pembangunan di negara ini dirancang dan dilaksanakan secara seimbang, antara kemajuan fizikal dengan kesejahteraan insan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-49 pada Isnin, beliau menegaskan setiap kelulusan pembangunan baharu mesti berpaksikan nilai kemanusiaan, termasuk bagi projek berasaskan bandar pintar, kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Iklan
Iklan

"Bandar pintar bukan sekadar binaan megah atau sistem canggih, tetapi cerminan bagaimana kemajuan dapat mengangkat kesejahteraan hidup rakyat. Justeru, masalah asas rakyat seperti lif usang di perumahan awam, gerai yang uzur dan kemudahan awam yang daif tidak boleh diabaikan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa kejayaan pembangunan bukan diukur pada menara yang menjulang, tetapi pada sejauh mana rakyat hidup dengan selesa, sejahtera dan bermaruah.

Iklan

Beliau turut menyeru kerajaan negeri menupuan perhatian kepada pemuliharaan warisan dan budaya, khususnya di kawasan bandar lama dan lokasi bersejarah.

"Pembangunan moden perlu memelihara seni bina tempatan dan nilai warisan bangsa agar kemajuan tidak mengorbankan jati diri serta keindahan yang membentuk identiti Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Iklan

Anwar berkata, hasil mesyuarat itu, akan menjadi panduan kepada agensi perancang dan pihak berkuasa tempatan dalam merangka dasar serta meluluskan projek pada masa hadapan, supaya pembangunan negara terus berpaksikan keseimbangan antara fizikal, teknologi dan kemanusiaan. - Bernama