KOTA BHARU – McDonald’s Malaysia kembali semula ke pantai timur negara untuk menyerahkan zakat korporat berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Pengarah Halal, Pengurusan Risiko dan Pematuhan McDonald’s Malaysia, Ahmad Shihafudin Mustapha menyerahkan replika cek zakat tersebut kepada Ketua Pegawai Baitulmal MAIK, Ridhwan Abdul Rahman pada majlis penyerahan yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Pengkalan Chepa, di sini, baru-baru ini.
Selain pembayaran zakat korporat, McDonald’s Malaysia turut menyantuni komuniti setempat di sekitar Kota Bharu dengan menyampaikan 50 Kotak Rezeki kepada keluarga asnaf serta menyediakan 1,000 hidangan percuma kepada masyarakat yang hadir sebagai tanda kesyukuran.
Dalam pada itu, sehingga tahun ini, jumlah keseluruhan zakat McDonald’s Malaysia kepada negeri Kelantan sejak tahun 2017 telah mencecah lebih RM920,000.
Pada Ogos yang lalu, McDonald’s Malaysia telah mengumumkan pengeluaran zakat korporat sebanyak RM2 juta bagi tahun 2025 ke seluruh negara.
Sejak menjadi syarikat milik penuh orang Islam pada tahun 2017, McDonald’s Malaysia telah berzakat lebih RM14 juta yang disalurkan ke pusat-pusat zakat negeri di seluruh Malaysia.
Kelantan merupakan negeri ke-11 menerima zakat korporat daripada McDonald’s Malaysia setelah syarikat itu menjelajah ke negeri Perak, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak untuk melunaskan bayaran zakat dan memberi sumbangan kepada golongan asnaf di sana.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, syarikat itu bukan sahaja menjalankan amanah kepada ummah dengan berzakat, tetapi mengambil peranan untuk memperkasa komuniti yang memerlukan dengan pendidikan dan pekerjaan.
“Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, kami berpegang teguh kepada nilai keprihatinan terhadap semua lapisan komuniti tanpa meminggirkan sesiapa yang memerlukan.
“Selain menunaikan zakat, McDonald’s Malaysia juga giat memperkasa masyarakat dengan menawarkan program pendidikan, latihan kemahiran, serta peluang pekerjaan termasuklah hampir 330 pekerja di negeri Kelantan.
“Usaha ini merangkumi golongan belia sehingga warga emas agar mereka boleh menyara diri, keluarga dan seterusnya keluar dari kitaran kemiskinan. Inilah sumbangan kami kepada rakyat tempatan menerusi program yang memberikan impak yang berpanjangan kepada kehidupan mereka,” kata Azmir.
Sebagai sebuah syarikat yang menjadi jiran prihatin kepada komuniti sekitar di lebih 370 restorannya di seluruh negara, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun.
Antara inisiatif tersebut termasuklah sumbangan kepada anak yatim, pemberian moreh kepada masjid dan surau, serta aktiviti menyantuni warga emas di pusat jagaan, khususnya pada musim perayaan dan lain-lain lagi.