Anwar mohon batal saman Waytha Moorthy cabar pelantikan sebagai PM

Iklan
Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman pemula difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.

Anwar, 78, membuat permohonan berkenaan menerusi Tetuan Daniel & Wong pada 10 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memohon prosiding lain berkaitan kes sama di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian penuh permohonan tersebut.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, beliau mendakwa, saman terbabit wajar ditolak kerana ia melanggar pelbagai prosedur perlembagaan dan berkanun lain.

Iklan

“Tindakan ini tidak dibawa di hadapan hakim pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Perkara berkenaan juga dibuat di luar tempoh masa mandatori untuk memfailkan satu Petisyen Pilihan Raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 38 akta sama,” katanya.

Iklan

Selain itu ahli politik itu selaku defendan berkata, Waytha Moorthy, 59, sebagai plaintif tidak mempunyai hak perundangan berkaitan kelayakannya atau ‘locus standi’ yang diperlukan untuk memulakan tindakan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.

Justeru beliau berkata, saman berkenaan secara tidak wajar, termasuk mahu mendapatkan kepentingan politik, mahu mengekalkan relevansi politik atau mengganggunya.

“Saman ini perlu dibatalkan serta-merta kerana ia tidak berasas, tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Pada Ogos lalu, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Pengerusi Hindraf itu turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia menyatakan, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.