397 stesen minyak diperiksa, tiada pelanggaran peraturan BUDI95 - KPDN Negeri Sembilan

Iklan
Muhammad Zahir

SEREMBAN – Sebanyak 397 stesen minyak telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Negeri Sembilan sejak pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula 30 September lalu.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dianggarkan 30 premis diperiksa setiap hari bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar tanpa sebarang pelanggaran peraturan.

Iklan
Iklan

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang pelanggaran peraturan dikesan di Negeri Sembilan setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa stesen minyak akan diperiksa susulan banyak aduan diterima berhubung isian petrol yang kurang daripada biasa sejak BUDI95 dilaksanakan.

Iklan

Beliau menjelaskan, pengguna dinasihati untuk menyemak resit pembelian selepas isian RON95 dilakukan.

Ujarnya, harga yang tertera di pam masih belum termasuk subsidi yang diberikan kerajaan.

Iklan

“Jumlah subsidi hanya akan dipaparkan selepas pengisian bahan api selesai dilakukan dan ia boleh dirujuk dalam resit pembelian.

“Sebagai contoh, bagi individu yang biasa mengisi petrol RON95 sebanyak RM50 pada harga RM2.05 seliter, mereka sebelum ini menerima kira-kira 24.390 liter petrol.

“Namun, selepas pelaksanaan BUDI95, jumlah liter yang diperoleh meningkat kepada 25.126 liter, iaitu pertambahan sebanyak 0.736 liter.

“Ini membuktikan bahawa subsidi yang diberikan melalui BUDI95 benar-benar memberi manfaat kepada pengguna yang layak,” tambah beliau.

Beliau sebelum ini turut menyarankan agar pengguna yang berdepan masalah mendapatkan petrol dengan harga subsidi RM1.99 menyimpan resit pembayaran bagi tujuan tuntutan.

Ia susulan kerajaan dijangka akan membuka permohonan tuntutan dalam masa terdekat bagi mereka yang berdepan isu teknikal seperti sistem tergendala atau masalah pengesahan MyKad.

Program subsidi bersasar BUDI95 merupakan inisiatif kerajaan di bawah penyasaran subsidi kepada rakyat yang layak, di samping mengawal ketirisan bahan api berkenaan.