Cadangan cukai jualan vape: MBSA tunggu pekeliling kerajaan Selangor

Iklan
Mohd Fauzi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Program Prihatin MBSA sempena Perayaan Deepavali di Dewan Aster MBSA, Seksyen 32, Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menunggu pekeliling rasmi berhubung cadangan menyalurkan sebahagian hasil cukai daripada penjualan produk rokok elektronik atau vape kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihaknya akan mematuhi sepenuhnya sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan cadangan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri nanti, kita akan ikut dan tunggu pekeliling rasmi sebelum melaksanakan sebarang langkah lanjut," katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Prihatin MBSA sempena Perayaan Deepavali di Dewan Aster MBSA, Seksyen 32 di sini pada Isnin.

Sinar Harian Khamis lalu melaporkan, kerajaan Selangor mencadangkan sebahagian hasil cukai daripada penjualan vape disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan PBT bagi tujuan penguatkuasaan serta pendidikan awam.

Iklan

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, langkah itu penting bagi memastikan hasil cukai yang dikutip dapat dimanfaatkan secara langsung untuk mengurus serta menangani kesan negatif penjualan dan penggunaan vape.

Mengulas mengenai sumbangan Deepavali itu, Mohd Fauzi berkata, seramai 50 penerima terdiri daripada warga emas, golongan miskin bandar dan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Bukit Kemuning menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan MBSA terhadap komuniti setempat.

Iklan

Beliau berkata, penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 dan barangan keperluan bernilai RM170 bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut perayaan tersebut.

Beliau berkata, program itu merupakan kesinambungan inisiatif kebajikan tahunan yang dilaksanakan MBSA bagi meraikan pelbagai kaum mengikut musim perayaan masing-masing.

"Kita akan laksanakan program sama di kawasan lain melalui MPP (Majlis Perwakilan Penduduk) yang akan menyantuni lebih ramai penerima selepas ini.

"Pelaksanaan program ini bukan sekadar membantu golongan memerlukan tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat majmuk di Shah Alam," tambah beliau.