Dodol usahawan OKU intai pasaran global
Iklan
Eizwan menunjukkan antara perisa popular yang mendapat permintaan tinggi pelanggan.
SIAPA sangka status sebagai orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang bagi Mohd Eizwan Solleh, 28, untuk bergelar usahawan berjaya yang kini terkenal dengan jenama Ewan Dodol.
Produk dodol moden pelbagai perisa yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan dan luar negara ini beroperasi dari Anak Bukit di sini, diusahakan anak muda berstatus OKU ketidakupayaan intelektual membuktikan kekurangan diri bukan alasan untuk tidak berusaha.
Iklan
Iklan
Pengurusan perniagaan dijayakan bersama bapanya, Solleh Wahab, 60, yang menjadi tulang belakang serta dibantu Mohamed Fuad Al Kahari, 60, selaku pengurus pemasaran yang turut membantu membimbing Eizwan dalam selok-belok dunia perniagaan.
Menurut Eizwan, idea menghasilkan dodol tercetus sekitar tahun 2017 yang diilhamkan oleh bapanya.
Iklan
Eizwan bersama bapanya, Solleh yang menjadi tulang belakang Ewan Dodol.
“Kami tiada pengalaman langsung buat dodol. Ketika itu bapa sedang fikirkan bentuk perniagaan yang sesuai untuk masa depan saya. Saya tahu proses dodol tradisional ambil masa sehingga lapan jam. Jadi, bapa cuba cari kaedah supaya lebih cepat dan tak membebankan,” katanya.
Iklan
Dengan pelaburan awal kira-kira RM100,000, dua beranak itu membeli mesin kawah dua lapis dan mesin pembungkus automatik untuk mempercepatkan proses pembuatan.
“Bermula secara kecil-kecilan, Ewan Dodol kini menjadi produk istimewa dengan inovasi tersendiri bukan sahaja dari segi rasa, malah pembungkusan moden yang memudahkan pelanggan menikmatinya di mana-mana.
“Dulu kami cuba tujuh perisa iaitu durian, pandan, coklat, strawberi, blueberry, cappuccino dan original. Selepas lihat permintaan pasaran, kami kekalkan lima perisa paling popular. Setiap warna pada bekas menunjukkan perisa yang berbeza,” jelasnya.
Mahu jadikan dodol sebagai snek harian
Eizwan berkata, pembungkusan produk turut menjadi antara faktor utama kejayaan Ewan Dodol yang dihasilkan dalam bekas ‘sumi cup’, menjadikannya mudah dimakan dan disimpan.
“Pendekatan itu bukan sahaja menambah nilai estetika, malah memberi pengalaman baharu kepada pelanggan. Ramai pelanggan maklumkan, bila makan dodol kami terasa ‘ketagih’ sebab teksturnya lembut dan mudah dimakan macam snek,” kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.
Menurutnya lagi, dari situ pendekatan mula diubah, untuk menjadikan dodol bukan lagi kuih bermusim tetapi sebagai snek harian moden.
“Kita pilih buat dalam bekas sumi agar nampak istimewa, senang dibawa dan dimakan malah mudah disimpan. Setiap warna mewakili perisa berbeza,” ujarnya.
Eizwan menyertai pameran jualan produk di serata negeri untuk memperkenalkan Ewan Dodol.
Tambah beliau, keunikan inovasi itu mendapat pengiktirafan apabila Ewan Dodol meraih Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kedah 2025.
“Kami mendapat bimbingan MARDI. Hasil penyelidikan bersama, produk tersebut kini mempunyai jangka hayat sehingga setahun, berbanding hanya empat bulan sebelum ini.
“Dulu kami tak boleh buat stok banyak sebab cepat rosak. Selepas lakukan kajian dan pembangunan (R&D), kini boleh hasilkan stok besar dan pasarkan ke lebih banyak lokasi,” ujarnya.
Eizwan berkata, bermula dengan jualan kurang RM10,000 sebulan, kini Ewan Dodol mencatat peningkatan ketara dan sudah mula memasuki pasaran aneka kedai serta acara pameran produk di seluruh negara.
Bakal tembusi pasaran China dan Dubai
Produk ini sudah menembusi pasaran Singapura dan Thailand, dan bakal diperkenalkan di China serta Dubai pada tahun hadapan menerusi penyertaan dalam pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).
“Dodol perisa durian Musang King sedang dibangunkan khas untuk pasaran eksport ke China.
“Kami sertai beberapa pameran makanan di Thailand, antaranya di Satun dan menerima maklum balas positif, dodol ini lebih sedap berbanding produk mereka. Itu buat kami yakin produk tradisional bila dikomersialkan secara moden boleh tembusi pasaran dunia,” jelasnya lagi.
Eizwan jelaskan, beliau yakin dodol mampu menjadi snek harian moden setanding kuih baulu, dan bukan lagi produk bermusim semata-mata.
“Kalau dulu dodol sinonim dengan Hari Raya dan kenduri, sekarang kami mahu ubah persepsi itu. Dodol boleh dinikmati bila-bila masa,” katanya yang menyasarkan akan mengeluarkan 22 perisa.
Eizwan juga percaya setiap kesusahan yang dilalui menjadi pengalaman berharga untuk pembangunan produknya.
Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Ewan Dodol kini menjadi simbol inspirasi bahawa dengan inovasi, kesungguhan dan sokongan keluarga, seorang usahawan OKU mampu mencipta kejayaan membanggakan bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di persada antarabangsa.
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.