BEREGU badminton wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah kini mengalihkan sepenuh tumpuan ke Terbuka Denmark Super 750 di Fyn Arena, Odense, Denmark selepas menutup kempen Terbuka Artik Super 500 dengan penuh bergaya dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan di bumi Eropah
Kemenangan meyakinkan di Energia Arena, Vantaa, Finland, Ahad, menjadi suntikan semangat terbaik buat pasangan ranking kedua dunia itu apabila mereka tampil dengan aksi luar biasa menundukkan gandingan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7, 21-9 dalam masa hanya 32 minit.
“Kami sangat gembira dengan persembahan hari ini. Sepanjang perlawanan, kami saling mengingatkan dan menyokong satu sama lain.
“Malam ini kami akan menikmati hidangan enak untuk meraikan kemenangan ini sebelum kembali fokus bagi menghadapi Terbuka Denmark,” ujar Thinaah.
Kejayaan Pearly-Thinaah bukan sekadar menambah satu lagi trofi dalam kabinet mereka, malah mencipta sejarah peribadi apabila buat kali pertama menjuarai dua kejohanan Siri Jelajah Dunia dalam musim yang sama, selepas turut meraih kejuaraan Terbuka Thailand pada Mei lalu.
Pearly-Thinaah sebelum ini muncul naib juara di Indonesia Masters (Januari), Terbuka Indonesia (Jun), Terbuka Jepun (Julai) serta Kejuaraan Dunia di Paris (Ogos).
Lebih manis, gelaran di Finland itu juga menebus kekecewaan tahun lalu apabila mereka sekadar bergelar naib juara di kejohanan sama, sekali gus membuktikan kemampuan sebenar gandingan muda negara itu di pentas antarabangsa.
Secara keseluruhan, kemenangan tersebut menjadikan koleksi kejuaraan Siri Jelajah Dunia mereka kini mencecah lima gelaran utama masing-masing di Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024, Terbuka Thailand 2025 dan kini Terbuka Artik 2025.
INFO
Status juara di Terbuka Artik Super 500 membolehkan Pearly–Thinaah membawa pulang hadiah AS$37,525 (RM158,543).