Aaron-Wooi Yik naib juara Terbuka Artik

Iklan
Aaron-Woi Yik naib juara Terbuka Artik Super 500. Foto Badminton Association of Malaysia

HASRAT beregu utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik untuk menjulang kejuaraan Terbuka Artik Super 500 tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil England, Ben Lane–Sean Vendy dalam aksi final penuh dramatik di Energia Arena, Vantaa, Finland pada Ahad.

Pasangan pilihan pertama kejohanan itu tewas dalam pertarungan tiga set selepas berhempas pulas selama sejam 15 minit dalam aksi yang menyaksikan momentum sering bertukar tangan.

Iklan
Iklan

Lane–Vendy bermula cemerlang apabila menguasai set pertama dengan tekanan berterusan ke atas Aaron–Wooi Yik untuk mencatat kemenangan 21-18.

Namun, Aaron–Wooi Yik tidak mudah mengalah bangkit lebih hebat pada set kedua dengan mempamerkan ketenangan luar biasa untuk memenangi pertarungan sengit 27-25 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Iklan
Iklan

Set ketiga berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasangan saling berbalas mata, namun Lane–Vendy lebih kemas di penghujung permainan bagi menamatkan saingan 21-17.