SHAH ALAM – Tindakan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berhampiran Plaza Tol Bukit Raja mengundang padah apabila ditahan bersama ratusan penunggang motosikal lain dalam operasi bersepadu awal pagi Ahad.
Remaja berkenaan yang masih bersekolah mendakwa mengambil motosikal milik ibunya tanpa pengetahuan wanita itu sebelum ke lokasi bersama beberapa rakan.
Katanya, pada awalnya dia sekadar ingin melihat perlumbaan haram yang sering berlangsung di kawasan berkenaan bersama rakan-rakan, namun terpengaruh untuk turut melakukan aksi berbahaya selepas melihat gelagat penunggang lain.
"Suasana bising deruman enjin motosikal serta sorakan rakan-rakan membuatkan saya teruja hingga lupa akan risiko yang menanti.
"Saya menyesal sangat, tak tahu nak beritahu ibu macam mana, takut dia marah bila tahu saya ditahan," katanya.
Tambahnya, itu bukan kali pertama dia ke lokasi terbabit kerana sebelum ini sudah beberapa kali datang untuk menonton perlumbaan liar tanpa pengetahuan keluarganya.
Ujarnya, setiap kali datang, dia hanya menonton dari jauh, namun kali ini terbawa-bawa oleh pengaruh rakan sebaya yang mengajaknya mencuba menunggang di laluan sama.
"Saya tahu perbuatan ini salah, tapi masa itu rasa seronok tengok orang lain buat aksi.
"Sekarang baru saya sedar bahaya dan malu dengan diri sendiri," katanya dengan nada kesal.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, laluan berhampiran Plaza Tol Bukit Raja sememangnya menjadi tumpuan penunggang motosikal, khususnya golongan remaja yang gemar melakukan aksi berbahaya pada malam minggu.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati kegiatan itu sering berlaku dan melibatkan jumlah penunggang yang ramai.
"Ekoran itu, JSPT Bukit Aman dan JSPT Kontinjen Selangor dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan operasi bersepadu malam ini.
"Lokasi ini memang menjadi tumpuan dan beberapa operasi telah dijalankan sebelum ini, namun apa yang kita lihat, masih ramai yang tidak serik," katanya.
Mohd Rozi berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa selain menasihatkan orang awam menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap pergerakan anak masing-masing, terutama yang masih bersekolah.
"Ada antara mereka berada di jalan raya pada jam tiga pagi dengan motosikal tidak selamat serta tanpa lesen, tindakan boleh diambil terhadap penjaga atau ibu bapa yang membenarkan perkara ini berlaku.
"Tindakan tegas juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan atau ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang tanpa lesen di bawah Akta Pengangkutan Jalan," katanya.