KOTA TINGGI – Polis Daerah Kota Tinggi sedang menyiasat kejadian kecurian kabel di Jalan Semanggar, di sini, selepas tular sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang individu melarikan diri dipercayai bagi mengelak daripada ditangkap orang awam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, hantaran video berkenaan telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘This Is Johor’ pada Sabtu.
“Pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita Melayu berhubung kejadian khianat terhadap harta benda awam tersebut kira-kira jam 6.38 petang, Sabtu.
“Susulan laporan tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai melibatkan tindakan seorang lelaki yang disyaki mencuri kabel di kawasan terbabit sebelum perbuatannya disedari orang awam.
Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Than Jia Jun di talian 016-9195285 atau mana-mana balai polis berdekatan.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di nombor 07-8831222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.