DUNGUN – [KEMAS KINI] Seorang pegawai bomba maut selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Kilometer 85, Jalan Ladang Gajah Mati, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam itu, mangsa, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Kamil Mat Jusoh, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Selesa, AMBS selepas menghadiri Program Hari Pencegahan Kebakaran 2025 di Kuala Terengganu.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sekumpulan kerbau melintas secara tiba-tiba, menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z250 SL tidak sempat mengelak lalu merempuh salah seekor haiwan berkenaan.
"Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Penolong Penguasa Bomba Mohd Izuddin Mahmood menyifatkan pemergian Mohamad Kamil merupakan satu kehilangan besar buat pasukan bomba di balai berkenaan.
Jelas beliau, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar AMBS.
"Allahyarham telah berkhidmat di Balai AMBS sejak tahun 2005 dan disenangi semua rakan sekerja
" Arwah seorang anggota yang sangat berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas, tidak pernah berkira dan sentiasa bersedia bila diperlukan," katanya.