GENTING GAZA -Trio gerakan penentangan Palestin mengumumkan bermulanya fasa pertama pelan untuk menamatkan perang genosid ke atas Genting Gaza.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Hamas, Jihad Islam dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) pada Jumaat, sehari selepas kesepakatan dicapai untuk menerima pelan damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Gerakan yang digelar sebagai ‘Tiga Kuasa’ itu menyifatkan fasa pertama tempoh bertenang itu sebagai ‘pencapaian negara’ yang lahir daripada keteguhan legenda para pejuang dan penduduk Palestin.
Mereka juga dengan lantang memuji perjuangan penduduk Gaza yang menghalang matlamat Zionis yang kononnya mahu dicapai melalui peperangan termasuk pelan jahat mahu merampas seluruh wilayah itu dan langkah pemindahan paksa.
“Keazaman penduduk Gaza untuk terus bertahan meskipun berdepan penderitaan tanpa henti membuktikan keteguhan mereka lebih kuat berbanding ‘mesin pembunuh’ Israel,” ujar kenyataan itu lagi.
Trio itu juga menegaskan dan mengulangi pendirian pentadbiran wilayah tersebut tidak sepatutnya diberikan kepada mana-mana kuasa asing atau pihak luar.
Ia bagaimanapun mengalu-alukan penglibatan negara Arab dan komuniti antarabangsa untuk membangunkan semula Gaza dengan syarat sokongan tersebut perlulah menghormati hak dan kedaulatan Palestin.
“Kami menggesa Israel supaya mematuhi perjanjian gencatan senjata itu mengikut apa yang telah dipersetujui. AS perlu memastikan sekutu mereka memberi komitmen yang berterusan terhadap pelaksanaan pelan damai secara berperingkat,” tegasnya.
‘Tiga Kuasa’ itu turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap gerakan solidariti global yang belum pernah terjadi sebelum ini dan terus mengekalkan momentum.
“Perjuangan Palestin telah menjadi isu moral dan kemanusiaan sejagat manakala entiti Israel kini berdepan kempen pengasingan global setelah komuniti antarabangsa mula membuka mata terhadap kekejaman mereka.
“Kami berharap kempen boikot terus diperhebatkan,” jelasnya. - Agensi