SHAH ALAM- Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan sebagai suatu permulaan yang 'tempang' untuk memenuhi aspirasi jangka panjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, belanjawan kali ini dibentangkan dalam suasana politik dan ekonomi yang mencabar dengan tumpuan yang jelas kepada pemberian insentif dan bantuan kepada rakyat.
"Ungkapan 'sukacita diumumkan' berulang kali menjadi tema utama, memberi isyarat bahawa ini bukan sekadar belanjawan fiskal, tetapi juga sebuah belanjawan pra-pilihan raya, berdasarkan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan lebih awal pada tahun hadapan.
"Dari segi asas ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 antara 4.0 hingga 4.5 peratus menggambarkan pemulihan yang sederhana, lebih rendah daripada sasaran asal dalam RMK13," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, walaupun kerajaan menekankan keseimbangan antara pertumbuhan dan kebajikan rakyat, trajektori pertumbuhan sederhana itu menunjukkan ruang fiskal yang terhad untuk merangsang ekonomi secara lebih menyeluruh.
"Peruntukan keseluruhan sebanyak RM470 bilion diumumkan, merangkumi RM421.2 bilion perbelanjaan kerajaan dan RM48.8 bilion dana daripada yarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Kerajaan menyasarkan penurunan defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada KDNK, selaras dengan komitmen di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal.
"Pendekatan ini mencerminkan usaha disiplin fiskal yang wajar, namun berisiko mengehadkan ruang bagi pembangunan strategik yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan jangka panjang malah Belanjawan 2026 dilihat suatu permulaan yang tempang untuk memenuhi aspirasi jangka panjang RMK13," katanya.
Jelasnya, dari segi agihan wilayah, tumpuan utama diberikan kepada Sabah dan Sarawak melalui pelbagai projek infrastruktur dan peruntukan khas, yang dilihat berkait dengan persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
"Sebaliknya, negeri-negeri pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak menyaksikan limpahan pembangunan yang seimbang, walaupun negeri-negeri ini masih berdepan kekurangan infrastruktur asas serta kadar kemiskinan relatif yang tinggi.
"Dari aspek sosial, peningkatan jumlah dan liputan bantuan tunai seperti Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memberi sedikit kelegaan kepada isi rumah berpendapatan rendah, di samping pelbagai subsidi dan bantuan tunai," katanya.
"Secara keseluruhan, Belanjawan 2026 mencerminkan dilema kerajaan antara keperluan mengekalkan disiplin fiskal dan tanggungjawab merangsang pertumbuhan," katanya.
Tambahnya, walaupun terdapat usaha mengekalkan kestabilan makroekonomi, belanjawan tersebut masih kekurangan keberanian untuk memperkenalkan reformasi struktur yang lebih mendalam bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh sektor pekerjaan dan merapatkan jurang pembangunan wilayah.
"Persoalannya, adakah Belanjawan 2026 benar-benar berani membetulkan asas ekonomi negara, atau sekadar menabur ‘bunga-bunga’ menjelang pilihan raya," katanya.