Pesawah bakal nikmati insentif lebih tinggi mulai tahun depan - MADA

Iklan
Pesawah bakal menikmati peningkatan kadar insentif pembajakan dan racun mulai tahun depan. Gambar kecil: Ismail

ALOR SETAR - Pesawah bakal menikmati peningkatan kadar insentif pembajakan dan racun mulai tahun depan apabila kerajaan menaikkan insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar semusim, manakala insentif racun meningkat daripada RM200 kepada RM300 sehektar semusim.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 sehektar turut diperkenalkan bagi membantu pesawah menampung kos operasi serta meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM2.62 bilion merangkumi pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah termasuk subsidi harga, tanaman, baja, benih serta insentif pengeluaran padi.

“Langkah ini memperkukuhkan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan pesawah selain memastikan keterjaminan pengeluaran makanan negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ismail berkata, dari segi infrastruktur, pelaksanaan Sistem Pengairan Tersier Fasa 1 bagi projek penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun yang mula dilaksanakan di kawasan Muda, Kedah dan Perlis menjadi bukti usaha berterusan kerajaan memperkukuhkan sistem pengairan negara.

“Projek Pemindahan Air Jeniang bernilai RM1.28 bilion yang akan dilaksanakan tahun hadapan pula bakal menambah keupayaan sistem pengairan bagi menyokong peningkatan hasil tanaman padi di Kawasan Muda,” katanya.

Iklan

Tambah beliau, MADA akan terus memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi pintar pertanian, pengurusan air lebih cekap serta pembangunan modal insan pesawah melalui latihan dan bimbingan berterusan.

“Pendekatan ini selari dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti padi kepada lebih 6 tan sehektar, selain memperkukuh daya tahan sektor pertanian terhadap perubahan iklim dan cabaran global.

“MADA akan terus memainkan peranan sebagai agensi pelaksana utama di peringkat lapangan dengan memastikan setiap inisiatif yang diumumkan diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada seluruh pesawah di Kawasan Muda,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan atas kesungguhan menoktahkan kemiskinan tegar melalui pelbagai bentuk bantuan kepada golongan pesawah.

“Komitmen ini bukan sahaja membela kebajikan pesawah, tetapi memperkukuh asas keterjaminan makanan negara sejajar dengan agenda Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat serta pembangunan mampan sektor pertanian,” katanya.