Belanjawan 2026 bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat – MTPN

Iklan
Mohd Faiz.

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat sebagai belanjawan rakyat yang menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan pengguna dan pembangunan ekonomi negara.

Naib Presiden Kebangsaan (Timur) MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, belanjawan tersebut menunjukkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kebajikan sosial dan kecekapan fiskal.

Iklan
Iklan

Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan pendidikan percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada keluarga miskin merupakan inisiatif penting yang menjamin akses pendidikan tinggi tanpa beban kewangan.

"MTPN menyambut baik pendekatan ini kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga B40, malah membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat turut membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, pengecualian penuh duti eksais dan cukai jualan kepada pemandu teksi serta kereta sewa persendirian jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pengangkutan awam dan ekonomi gig.

Iklan

"MTPN turut mengalu-alukan langkah memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta peluasan insentif kepada sektor strategik seperti pendidikan, tenaga kerja dan keusahawanan," katanya.

Tambahnya, Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, sebaliknya manifestasi keprihatinan terhadap rakyat dan masa depan negara.

"Ia menekankan keseimbangan antara bantuan sosial, peluang ekonomi dan pembaharuan struktur bagi memastikan kesejahteraan pengguna serta kemakmuran nasional terus terjamin secara mampan dan inklusif.

"MTPN juga menekankan terhadap keperluan pelaksanaan yang telus dan efisien agar setiap bantuan sampai kepada penerima sebenar," ujarnya.