Gudang penuh barang tiruan, dua warga asing dicekup

Iklan
KPDN Kuala Lumpur menyerbu sebuah stor di Cheras dan menahan dua warga asing selepas menemui lebih 17,000 produk penjagaan diri tiruan bernilai RM160,000 dalam operasi Op Jeriji 6.0.

KUALA LUMPUR - Sebuah premis di Cheras yang dijadikan stor dan ‘dijaga’ warga asing bagi menyimpan produk penjagaan diri tiruan diserbu pada Khamis.

Serbuan Op Jeriji 6.0 kira-kira jam 12 tengah hari dijalankan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur hasil maklumat risikan selepas menerima aduan daripada wakil cap dagang.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, dua lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 30 hingga 40-an disyaki pekerja telah ditahan.

Menurutnya, hasil serbuan itu, sebanyak 17,100 unit barangan pelbagai jenis seperti minyak wangi, semburan badan dan losen bernilai RM160,000 telah disita.

Iklan

“Premis ini dipercayai berfungsi sebagai stor simpanan dan pusat pengurusan pesanan sebelum produk dihantar melalui perkhidmatan kurier kepada pembeli.

“Semua barangan ini disimpan sebagai stok sebelum dihantar kepada pelanggan di sekitar Chow Kit dan Jalan Kenanga, selain dijual secara dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sumber produk diperoleh dari luar negara.

Tambahnya, kegiatan terbabit disyaki telah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan pengesahan awal oleh wakil pemilik cap dagang mengesahkan barangan tersebut adalah tiruan.

“Kesemua rampasan dibawa ke Stor Simpanan Ekshibit KPDN Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” ujarnya.