SHAH ALAM - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa memberi penjelasan berhubung pewartaan berkait isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, pewartaan melibatkan seksyen 4 dan seksyen 8 akta pengambilan tanah itu diluluskan oleh Annuar sendiri ketika beliau memegang portfolio sebagai menteri wilayah.
"Beliau (Annuar) perlu menjelaskan bagaimana pewartaan itu boleh diluluskan ketika zaman beliau berkuasa, terlebih lagi apabila mantan menteri wilayah selepas beliau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mempersoalkan kewajaran pewartaan itu diluluskan dalam tempoh singkat.
"Justeru, saya menggesa Annuar untuk tampil memberikan penjelasan penuh berkaitan isu Projek Pembangunan Sungai Baru dengan mengambil rasa tanggungjawab terhadap penduduk yang terjejas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mendedahkan pewartaan pengambilan tanah melibatkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2021 dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh hanya tiga hari.
Annuar menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat memberikan dua pilihan kepada Dr Zaliha berhubung penjelasan isu Kampung Sungai Baru di Parlimen, termasuk cadangan supaya mengulangi kenyataannya menerusi satu platform audio siar pada minggu depan.
Cadangan lain adalah, Annuar akan mengulas isu tersebut pada suatu sidang pasca Kabinet oleh Dr Zaliha pada Rabu depan.
Syed Badli Shah yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa berkata, tindakan Annuar yang mencabar untuk bersemuka di dalam platform audio siar disifatkan sebagai perbuatan membuang masa dan cubaan mengalihkan isu.
"Apa yang didedahkan oleh Dr Zaliha berkaitan proses pengambilan tanah Sungai Baru melibatkan pewartaan menerusi seksyen 4 dan seksyen 8 akta pengambilan tanah yang berlaku ketika Annuar bergelar Menteri Wilayah, adalah berdasarkan fakta dan rekod kementerian.
"Annuar sepatutnya tampil menjelaskan lebih awal lagi dan bukannya berdiam diri seperti seorang pengecut yang berselindung di sebalik watak-watak antagonis yang kononnya menyalahkan Kerajaan Madani," ujarnya.