RAIPUR – Seorang lelaki berusia 21 tahun di India ditahan selepas dipercayai membunuh teman wanitanya sebelum cuba menyembunyikan jenayah itu dengan berpura-pura kononnya mangsa membunuh diri.
Menurut laporan The Times of India, suspek yang dikenali sebagai Ritesh Sahu dilaporkan mencekik teman wanitanya, Aarti Verma, di rumah sewa mereka di bandar Raipur, negeri Chhattisgarh, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Raipur, Prashant Agrawal berkata, siasatan awal mendapati pertengkaran tercetus antara pasangan berkenaan selepas mangsa dikatakan mahu menamatkan hubungan mereka.
“Dalam keadaan marah, suspek mencekik mangsa hingga mati sebelum menggantung mayat wanita itu bagi menampakkan seolah-olah ia kes bunuh diri,” katanya kepada media tempatan pada Jumaat.
Tambah beliau, polis menerima panggilan daripada jiran yang curiga selepas terdengar pertengkaran kuat sebelum kejadian.
“Pasukan penyiasat menemui beberapa kesan pergelutan di lokasi kejadian dan laporan forensik mengesahkan kematian akibat lemas akibat cekikan, bukan gantung diri,” jelasnya.
Ritesh yang cuba melarikan diri ditahan beberapa jam kemudian di sebuah stesen bas berhampiran bandar tersebut.
Pihak polis turut merampas telefon bimbit mangsa dan suspek bagi membantu siasatan, termasuk mesej terakhir yang menunjukkan mangsa ingin menamatkan hubungan cinta mereka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan India (IPC) kerana membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.