Bulan madu bertukar tragedi: Pengantin wanita ditemui maut, suami tidak sedarkan diri di resort

Iklan
Polis kini sedang melakukan siasatan menyeluruh. - Agensi

SOLOK – Kegembiraan pasangan pengantin baru yang sedang berbulan madu bertukar tragedi apabila si isteri ditemui maut, manakala suaminya tidak sedarkan diri di sebuah resort pelancongan popular di Lakeside Alahan Panjang, Kabupaten Solok, Sumatera Barat, pada Rabu pagi lalu.

Menurut laporan, pasangan berkenaan Cindy Desta Nanda dan Gilang Kurniawan baru sahaja mendaftar masuk ke resort berkenaan pada Selasa kira-kira jam 1.25 tengah hari waktu tempatan dan dilihat memasuki bilik tidak lama kemudian.

Iklan
Iklan

Petugas resort mula berasa curiga selepas pasangan itu tidak memberi sebarang maklum balas terhadap panggilan dan ketukan pintu sejak malam sebelumnya.

Apabila pintu bilik dibuka secara paksa sekitar 7.30 pagi waktu tempatan, petugas terkejut apabila mendapati Cindy terbaring tidak bernyawa, manakala Gilang ditemui dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri berhampiran bilik mandi.

Iklan

“Pada jam 7.30 pagi waktu tempatan, kami menerima laporan daripada pihak penginapan mengenai dua tetamu yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik. Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripadanya telah meninggal dunia,” kata Ketua Polis Sektor Lembah Gumanti, AKP Barata, dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut keterangan saksi, sekitar jam 6.30 petang waktu tempatan pada hari pendaftaran, Cindy sempat membuat pesanan makanan melalui kaunter penerimaan tetamu yang terdiri daripada sup ekor, mi kuah pedas, popia goreng, kentang goreng dan air mineral besar. Pesanan tersebut dihantar oleh salah seorang pekerja resort.

Iklan

Keesokan paginya, seorang kakitangan membawa sarapan ke bilik mereka dan mendengar suara lelaki dari dalam bilik memaklumkan sedang mandi. Namun selepas beberapa ketika, tiada lagi sebarang maklum balas diberikan.

Bimbang dengan keadaan itu, pihak resort bertindak membuka pintu menggunakan kunci pendua sebelum menemukan kedua-duanya terbaring tidak sedarkan diri di bilik mandi.

“Mangsa lelaki ditemui terbaring di lantai bilik air, manakala mangsa perempuan berada di belakang pintu,” jelas Barata.

Pihak resort segera memberikan bantuan kecemasan menggunakan alat oksigen mudah alih sebelum membawa mereka ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Alahan Panjang.

Bagaimanapun, Cindy disahkan meninggal dunia pada jam 8.35 pagi waktu tempatan, manakala Gilang masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Umum Daerah Arosuka untuk rawatan lanjut.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Beberapa barangan bukti turut dirampas dari lokasi, sementara hasil pemeriksaan perubatan masih ditunggu.

“Siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan mengalami sesak nafas, namun kami masih menunggu keputusan penuh daripada pasukan perubatan,” tambah Barata.

Insiden tragis itu mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial, dengan orang ramai meluahkan rasa simpati dan menggesa agar hasil siasatan rasmi diumumkan bagi mengelakkan sebarang andaian tidak berasas.-Agensi