Belanjawan 2026: MOM puji suntikan RM580 juta, dorong agenda RTG

Iklan
Norza Zakaria

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyambut baik pengumuman peruntukan RM580 juta kepada sektor sukan dalam Belanjawan 2026, yang disifatkan sebagai peningkatan lebih 150 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata peruntukan besar ini mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh ekosistem sukan negara, serta memberi suntikan baharu kepada pelbagai program berprestasi tinggi seperti Road to Gold (RTG), Program Podium, dan Program Pelapis.

Iklan
Iklan

“Peningkatan ketara ini amat penting untuk mengekalkan momentum pencapaian atlet negara di peringkat antarabangsa serta membina kesinambungan dalam pembangunan bakat baharu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Norza turut menyifatkan langkah kerajaan menaik taraf serta menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara sebagai strategik dalam melahirkan masyarakat sihat dan memperkasa budaya hidup aktif dalam kalangan rakyat.

Iklan

MOM juga memuji tumpuan kerajaan terhadap pembangunan padang sukan sekolah yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan, sebagai asas penting mencungkil bakat sukan masa depan.

“Sekolah adalah tapak pertama untuk menanam minat, disiplin dan semangat kesukanan,” ujar Norza, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA).

Iklan

Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan organisasi yang diluluskan LHDN menyalurkan sebahagian pendapatan untuk menyokong aktiviti sukan, yang membuka ruang kerjasama lebih luas antara sektor awam dan swasta.

“Langkah ini akan membantu memacu pembangunan sukan secara menyeluruh dan berdaya saing,” katanya.

Norza merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan dan sokongan padu terhadap pembangunan sukan negara menerusi Belanjawan 2026.

“Kami berharap peruntukan ini dimanfaatkan secara bijak dan telus demi memperkukuh keseluruhan ekosistem sukan negara,” katanya lagi.