SHAH ALAM - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyambut baik insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Penghantar menerusi kenyataan berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan perlindungan sosial dan simpanan hari tua golongan pekerja gig, khususnya anak-anak muda yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai caruman tetap dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Persatuan tersebut bagaimanapun mengharapkan penjelasan terperinci mengenai padanan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
"Ini kerana pengumuman berkenaan tidak lengkap, apabila disebut padanan, pihak mana yang akan menanggung jumlah sedia ada, syarikat e-hailing (EHO) atau p-hailing (PHO) atau rakan pemandu dan rakan penghantar?
"Penjelasan ini amat penting bagi mengelak sebarang spekulasi dan teori separuh masak oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pertubuhan tidak berdaftar yang mendakwa mewakili rakan pemandu dan rakan penghantar," katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak kerajaan juga diharapkan akan segera memberi perincian mengenai tanggungan 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pekerja gig dan 50 peratus bagi tahun kedua termasuk nilai peruntukan yang bakal disalurkan bagi tujuan itu.