SHAH ALAM - Peningkatan peruntukan dan kesinambungan program utama seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), bantuan awal persekolahan dan pembangunan sekolah membuktikan pendidikan kekal sebagai agenda nasional yang utama.
Setiausaha agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, pada masa yang sama pihaknya amat menghargai keputusan kerajaan untuk menyemak dan menaikkan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menurutnya, langkah itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan guru serta penjawat awam lain yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
"NUTP berharap pelaksanaan kenaikan ini dilakukan dengan telus, adil dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan warga pendidik di seluruh negara.
"Kerajaan juga diharapkan dapat mempertimbangkan penyelenggaraan rumah guru terutama di kawasan pedalaman yang sangat diperlukan.
"Selain itu, kami berpendapat penambahan pembinaan sekolah perlu diselarikan dengan unjuran pengambilan guru supaya sekolah-sekolah baharu tidak berdepan dengan isu kekurangan tenaga pengajar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Fouzi Singon, pihaknya turut menzahirkan penghargaan atas peruntukan RM700 juta bagi pembinaan 35 blok tambahan yang akan menampung keperluan murid pendidikan khas di seluruh negara.
Ujarnya, ia jelas mencerminkan peningkatan kesedaran dan keprihatinan terhadap keperluan murid berkeperluan khas (MBK).
"Namun begitu, NUTP mencadangkan agar pemilihan lokasi pembinaan kelas dan blok tambahan ini mengambil kira akses jalan utama serta kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
"NUTP juga menyokong keputusan kerajaan mengekalkan elaun murid berkeperluan khas sebanyak RM150, yang terus membantu meringankan tanggungan keluarga," ulasnya
Beliau memberitahu, secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 menggambarkan keprihatinan berterusan Kerajaan Madani terhadap pendidikan.
"NUTP komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat guru dan murid di seluruh negara," katanya.