Belanjawan 2026 bukti kerajaan beri keadilan sosial, perkukuh sistem pendidikan

Iklan
Muhammad Kamil

SHAH ALAM - Belanjawan 2026 menunjukkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar menambah angka dalam buku kira-kira, tetapi menzahirkan keadilan sosial melalui tindakan dan dasar nyata.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia dibuktikan menerusi beberapa perkara antaranya peruntukan besar sebanyak RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan, berbanding RM64.2 bilion tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan juga memperkenalkan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,700 sebulan melalui pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) .

"AMK juga mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan elaun RM150 sebulan kepada semua pelajar sekolah pendidikan khas (OKU).

Iklan

"Selain itu, perluasan bantuan am persekolahan kepada pelajar miskin sehingga tingkatan 5 menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran sebenar yang dihadapi keluarga B40 dalam memastikan anak-anak mereka kekal bersekolah dan tidak tercicir akibat kesempitan hidup.

"Dalam Belanjawan 2026 ini juga, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf lebih 520 sekolah usang, khususnya di Sabah dan Sarawak selain kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan bagi semua jenis sekolah di seluruh negara," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah Muhammad Kamil, kesemua langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan prasarana pendidikan berada dalam keadaan kondusif serta mencerminkan semangat kepelbagaian dalam sistem pendidikan nasional.

"Kami percaya pelaburan besar dalam sektor pendidikan ini akan melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi, asas utama bagi membina negara bangsa yang maju dan sejahtera.

"Oleh itu, diharapkan semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti pendidikan untuk terus menyokong pelaksanaan dasar-dasar ini agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat di setiap lapisan masyarakat," jelasnya.