KUALA LUMPUR – Sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka tiba di tanah air pada Ahad ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kesemua aktivis berkenaan dijangka tiba di Istanbul pada jam 7.30 malam ini sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
“MyCARE telah menghantar wakil ke Istanbul bagi menyambut kepulangan kesembilan aktivis berkenaan yang terlibat dalam misi kemanusiaan FFC x TMTG,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sembilan delegasi Malaysia tersebut ialah Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Maziah Muhammad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Mereka merupakan antara 150 peserta dari 25 negara yang menyertai pelayaran kemanusiaan FFC x TMTG membawa bantuan makanan dan perubatan ke Gaza bagi menentang sekatan laut Israel.
Kapal yang membawa aktivis berkenaan, termasuk kapal utama Conscience dilaporkan dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada 8 Oktober lalu sebelum semua peserta ditahan.