[VIDEO] Belanjawan 2026: 4,500 lagi doktor kontrak ditawarkan lantikan tetap

Iklan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,500 lagi doktor kontrak akan ditawarkan lantikan tetap tahun hadapan, sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan menangani isu kebajikan dan kestabilan kerjaya petugas kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu menyambung komitmen kerajaan sejak 2023 yang telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan, menjadikan 12,900 doktor kontrak kini telah diserap ke jawatan tetap.

Iklan
Iklan

“Kerajaan terus cakna isu doktor kontrak dan kebajikan petugas kesihatan. Sejak 2023 hingga 2025, sejumlah 12,900 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap, dan seramai 4,500 lagi akan ditawarkan lantikan tetap tahun hadapan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar turut memaklumkan bahawa 833 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap tahun ini, manakala 935 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditawarkan jawatan tetap tahun depan.

Iklan

Sebanyak 4,500 lagi doktor kontrak akan ditawarkan lantikan tetap tahun hadapan. Gambar hiasan

Dalam pada itu, kerajaan juga menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am kepada antara RM10 hingga RM80, berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

Iklan

“Langkah ini memberi ruang lebih fleksibel sesuai dengan tahap perkhidmatan ditawarkan, sambil mengekalkan kadar minimum yang tidak membebankan rakyat,” katanya.

Bagi menghargai dedikasi pegawai kesihatan, Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) turut dinaikkan sekitar 40 peratus bermula 1 Oktober 2025, dengan peruntukan tambahan RM120 juta setahun.

Menurut beliau, doktor pakar yang diarah bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti akan menerima ETAP sebanyak RM350, berbanding RM250 sebelum ini.