KUALA LUMPUR — Kerajaan memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi tahun 2026, meningkat berbanding RM45.3 bilion tahun ini, sebagai usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan tekad kerajaan untuk memperkasa perkhidmatan kesihatan rakyat secara menyeluruh.
“Rancangan Malaysia Ke-13 telah menegaskan keperluan reformasi kesihatan yang berpandukan empat tonggak Kertas Putih Kesihatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, tumpuan kerajaan bagi tahun depan adalah terhadap enam aspek utama termasuk peningkatan prasarana dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
“Semua hospital dan klinik kerajaan akan diselenggara dan dibaik pulih melibatkan peruntukan RM1.2 bilion, manakala wad hospital daerah seluruh negara turut dinaik taraf sebanyak RM100 juta.
“Sebanyak RM755 juta disediakan bagi menggantikan peralatan perubatan lapuk dan memperoleh teknologi baharu untuk disiplin moden,” katanya.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memperuntukkan RM650 juta bagi meningkatkan ketersambungan internet di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.
“Isu kesesakan hospital awam juga akan dileraikan melalui kerjasama dengan hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM140 juta,” katanya.
Dalam masa sama, peranan klinik kesihatan akan diperkasa dengan RM30 juta bagi menyediakan perkhidmatan pakar kepada komuniti setempat.
“Kerajaan turut akan membina hospital, klinik dan blok tambahan baharu termasuk Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah, blok tambahan di Hospital Pontian, Hospital Banting, Hospital Sungai Buloh, serta Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan juga akan mempercepat pelaksanaan pembinaan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses kesihatan yang lebih menyeluruh, moden dan berkualiti,” katanya.