KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber akan digubal bagi menangani jenayah siber termasuk isu sindiket penipuan (scammer) dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi bagi memperkukuh kedaulatan digital dan keselamatan siber negara.
Iklan
Iklan
“Sejumlah RM12 juta diperuntukkan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang kini dikemudi secara langsung oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar pengendalian kes penipuan kewangan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan cekap,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peranan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM turut diperkasa dalam usaha menangani jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber.
“Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi memodenkan sistem serta kepakaran forensik digital, selain menubuhkan Behavioural Science Unit yang akan menganalisis pola tingkah laku dan profil jenayah,” ujarnya.