KAJANG – Gara-gara perselisihan faham, tindakan seorang lelaki mengugut kontraktor binaan menggunakan sebilah parang mengundang padah apabila diberkas dengan bantuan orang awam di kawasan perumahan di Batu 9, Cheras di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila suspek berusia 29 tahun yang menaiki kereta jenis Honda Civic dikatakan menghalang laluan kenderaan mangsa berusia 59 tahun.
"Suspek kemudian keluar dari kereta sambil membawa sebilah parang dan membuka pintu kenderaan mangsa dengan alasan mahu berbincang mengenai hal peribadi.
"Namun, suspek bertindak merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa yang diletakkan di atas riba sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa bersama beberapa orang awam bertindak mengejar suspek hingga ke Jalan Cuepacs sebelum lelaki itu berjaya ditahan.
"Telefon bimbit milik mangsa jenis Oppo berjaya ditemui semula namun dalam keadaan pecah dipercayai akibat dicampak suspek semasa kejadian.
"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan akibat kejadian," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada isu peribadi antara suspek dengan isteri mangsa.
"Semakan mendapati suspek yang merupakan penganggur itu memiliki dua rekod jenayah lampau.
"Turut ditahan bersama suspek melibatkan sebilah parang panjang serta sebuah kereta yang digunakan semasa kejadian," katanya.
Naazron berkata, suspek direman empat hari bermula 10 hingga 13 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta menghubungi Balai Polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Redzuan Jahuri di talian 019-2153937," katanya.