KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu.
Jeffrey berkata, susulan penerimaan surat tersebut, keahlian kelima-lima ADUN berkenaan secara automatik gugur, termasuk jawatan yang mereka sandang turut terlucut.
“Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) telah bersidang dan kita telah menerima peletakan jawatan mereka.
“Jadi, dalam masa sama, secara automatik keahlian mereka sudah tiada. Secara automatik juga jawatan mereka terlucut dan dipangku oleh timbalan-timbalan seperti yang diumumkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Lima ADUN tersebut ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).
Jeffrey dalam pada itu turut mengesahkan bahawa STAR akan bekerjasama dengan Parti Maju Sabah (SAPP) serta tiga lagi parti lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Ada beberapa parti, saya belum umumkan, ada tiga. Pengumuman akan dibuat mungkin selepas kita berjumpa dengan mereka untuk pastikan apa dalam hati mereka, selain daripada keinginan untuk menjadi pasukan,” katanya.
Ditanya mengenai agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), Jeffrey memaklumkan bahawa perkara itu belum dimuktamadkan, namun dianggarkan melibatkan sehingga 40 kerusi.
“Belum dimuktamadkan, tetapi antara 35 hingga 40 kerusi,” katanya.